15 August, 2011

Al-Quran Mukjizat Ramadhan

BAGAIMANA dikatakan al-Quran berjaya 'membekas' di dalam jiwa seseorang? Pastinya, mereka yang benar-benar menghayati al-Quran akan merasai ia begitu hampir dengan mereka.

Apabila diperdengarkan ayat mengenai azab serta seksaan di neraka, hati mereka begitu takut untuk melakukan kemungkaran. Begitu juga al-Quran menceritakan ganjaran syurga jika beramal soleh, mereka sedaya upaya memperbaiki diri dengan harapan dapat menikmati ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.

Itulah antara penghayatan yang perlu dimiliki setiap Muslim dalam memahami serta menghayati kalam suci al-Quran. Keajaiban al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w sebagai pedoman hidup buat manusia dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Mukjizat al-Quran berbeza dengan mukjizat Rasulullah s.a.w lain kerana al-Quran tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Di dalamnya terkandung pelbagai hikmah kebenaran.

Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya menolak Islam, tetapi akhirnya mereka beriman kepada Allah s.w.t selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.

Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila al-Quran merubah kehidupan umat Arab ketika itu daripada masyarakat jahiliah kepada umat bertamadun.

Keajaiban al-Quran dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab sehingga beliau memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar seorang lelaki bengis dan kejam dan pernah berniat untuk membunuh Nabi Muhammad.

Detik perubahan Umar berlaku selepas beliau menghayati beberapa ayat dari Surah Taha ketika pergi ke rumah adiknya, Fatimah yang ketika itu sedang mempelajari al-Quran.

Beliau berkeyakinan apa yang didengarnya itu bukan syair Arab. Kata-katanya sangat indah yang tiada tolak bandingnya dan pada hari itu juga, Umar memeluk Islam.

Begitulah besarnya pengaruh mendengar bacaan al-Quran sehingga dapat mengubah peribadi Umar sehingga menjadi insan yang beriman kepada Allah s.w.t Allah berhak memelihara kesucian kitab al-Quran daripada dicemari daripada diubah suai oleh manusia. Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya". (Surah al-Hijr, ayat 9).

Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat setanding dengan al-Quran. Bagi mereka yang mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian pastinya akan rasa bahagia. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini menunjukkan (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan (amalan) yang soleh; sesungguhnya untuk mereka itu pahala yang besar." (Surah al-Israk ayat 9).

Pada Ramadan yang penuh keberkatan ini kita dituntut untuk bertadarus al-Quran. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya. (Hadis Riwayat Muslim).

Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan jangan sampai mereka menjadi 'buta' al-Quran. Sedangkan bahan bacaan santai lain boleh dihabiskan dalam tempoh tertentu tetapi kenapakah al-Quran dipinggirkan dan hanya menjadi perhiasan di rumah.

Manusia yang sering dibelenggu keresahan, gundah-gulana dan kesempitan perlu sentiasa mendampingi Al-Quran supaya mereka kembali mendapat kekuatan, semangat, kesenangan serta ketenangan di jiwa.

Itulah rahmat yang Allah diberikan kesan daripada beramal dengan mukjizat agung itu. Ibaratnya, semakin banyak membaca dan mendengar al-Quran seluruh jiwa raganya semakin terpikat dan seronok kepada al-Quran.

Malah kesannya lebih terasa jika seseorang itu mampu menguasai al-Quran dengan alunan suara yang merdu serta fasih bacaannya. Orang lain juga pasti terpikat jika seseorang dapat mempersembahkan bacaannya begitu baik sekali.

Dalam riwayat, banyak sekali diceritakan, pengaruh bacaan al-Quran pada zaman Rasulullah terhadap hati orang kafir selepas mendengar ayat Al-Quran sangat berkesan.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata perkataan mukjizat dalam bahasa Arab bermaksud perkara yang bercanggah dengan adat kebiasaan.

Ia sesuatu perkara luar biasa yang ditentukan Allah s.w.t dan dikurniakan kepada seseorang yang bergelar rasul sebagai tanda kebenarannya di mana dakwahnya diiringi dengan cabaran dan tiada tandingan sama sekali.

Allah mengurniakan Nabi Muhammad mukjizat kandungan al-Quran yang tidak mampu ditandingi manusia terutamanya di dalam bidang ilmu pengetahuan.

Antara mukjizat al-Quran ialah keindahan bahasanya yang tinggi dan halus, susunan bahasa yang baik, ilmu pengetahuan yang membimbing manusia ke arah kebenaran serta panduan lengkap ke arah kemaslahatan dan kemakmuran alam semesta, katanya.

Beliau berkata al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril a.s secara berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun.

Di dalamnya mengandungi peristiwa umat terdahulu yang menyentuh aspek kehidupan manusia seperti cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan pembangunan.

Mukjizat al-Quran dipenuhi dengan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab lain. Ringkasnya, al-Quran adalah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad sekali gus ia menjadi bukti bahawa al-Quran adalah firman Allah dan bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad sendiri, katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata kandungan al-Quran penuh dengan ajaran bagi memandu manusia menjadi ummah bertamadun.

Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud: "Alif, Laam, Raa
. Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman (dengan izin tuhan mereka) ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji."

"Rasulullah menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang kafir Quraisy sehingga mereka tidak mampu menghadapinya padahal mereka memiliki kemahiran tinggi dari segi fasahah dan balaghahnya," katanya.

Beliau berkata al-Quran diturunkan bukan untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad dan umatnya semata-mata. Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat kepada seluruh umat.

"Justeru, Rasulullah menggesa umatnya membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya," katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata golongan yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama pada setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah.

Setiap huruf yang dibaca dikira sebagai 10 pahala sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf." (Hadis riwayat Tirmizi).

Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Masud dan Ubay bin kaab sentiasa membaca al-Quran dan khatam pada setiap Jumaat.

"Begitu juga amalan tradisi yang dilakukan orang dahulu yang sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak mereka.

Anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan bacaan al-Quran pada setiap malam selepas Maghrib secara beramai-ramai," katanya.

Beliau berkata walaupun perkara itu tiada dalam syariat, ia membuktikan mereka sangat mengambil berat pendidikan al-Quran.

Namun pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup, asas pemikiran atau berfikir secara Qurani? Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.

Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir sesuatu kejadian dalam kehidupan. Berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur (jiwa mengkaji dan menyelidik).

AyatAllah bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan. Kisah yang dirakamkan al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu, tetapi berulang kembali pada masa kini dan masa depan, katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata Rasulullah pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam ramai, tetapi berkeadaan seperti buih di lautan kerana lemah dan tidak berdaya saing.

Umat Islam mesti yakin al-Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang melanda masyarakat masa kini.

Jangan hanya merujuk al-Quran pada masa-masa tertentu seperti dalam kesusahan, ketika sakit atau saat menghadapi kematian saja. Ibu bapa perlu berperanan memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga mereka. Pastikan selepas setiap waktu solat mereka bersama anak-anak berpeluang membaca, mempelajari serta mentadabbur al-Quran.

Sumber dari : Portal Mukmin

:) singah sini lagi ya.jangan lupa komen tau (:

6 comments:

Dr K said...

peringatan yang amat bagus, utk kita amal kan..TQ share..

RIZZNA said...

TQ Daddy Ziyyad. Yg baik kita kongsikan, yg buruk kita perbaiki.

Lee said...

Hello Cinta Misteri, first time I see a lady mention her age.....your profile.
Anyway, you don't look it.....look much younger.
Have a nice day and keep a song in your heart.
Lee.

|| A r a W a n i || said...

Salam Akak..
Thnks for sharing dis artikel yep..

Mencuba sebaik2nya utk mendalami kitab warisan Rasulullah S.A.W

|| A r a W a n i || said...
This comment has been removed by the author.
RIZZNA said...

AraWani, thks for reading. InsyaAllah, yg baik kita kongsikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...